TUAH SUJANA

menjadi pemula bulatan

Kembali ke Zaman Maharaja Bogel

Erotik? Teruskan pengembaraan di sini. Kita masih di peringkat eksposisi.

Apakala kepenatan membaca dan mengkaji atau mungkin mencatat, saya akan membuat kerja-kerja santai. Melihat foto kumal yang pegun di dalam album, sesekali menjengah buku-buku latihan sejak alam tadika yang masih tersimpan di stor oleh ibu. Membaca memang satu aktiviti yang sungguh-sungguh memerlukan komitmen berperingkat – bukan secara acuh tidak acuh sahaja.

Kalau dahulu, sewaktu usia anak-anak, saya menunggu saat-saat begini; maksud saya pengakhiran bulan November dan Disember ini. Saya penggemar kisah detektif  5 bersaudara dan ralit membacanya di tengah kesejukan hujan. Menyepahkan kamar dengan koleksinya yang memang saya kumpul.

Mungkin selimut yang menghangatkan saya beberapa tahun lampau masih ada. Saya kembalikan kenangan lampau itu. Cubalah sesekali berbuat begitu. Tentu kita akan rasakan sesuatu yang menyegarkan.

Masih kebosanan; saya akan mengayuh basikal dalam semput ke masjid. Banyak tujuan setepatnya. Boleh berkongsi apa yang telah saya baca dengan kawan-kawan atau dengan imam juga kalau soal yang berkaitan agama. Kemudian sesudah pulang, saya akan melihat sekolah lama saya di sisi jalan. Buku-buku latihan, agam bangunan, pakaian seragam, novel-novel kasih sayang kembali berlegar mencecah benak. Semua itu sebenarnya saya takung di sekolah inilah.

Siapa yang tidak terkenang akan alma meter? Jatuh bangun kita di sini. Sejarah pembacaan barangkali boleh kita bentur sejak anak-anak kecil. Saat wajah masih cergas dengan bayang-bayang permainan sahaja – belum lagi memikul tanggungjawab.

Jarang benar rasanya kita bermula dengan sesuatu yang sukar terlebih dahulu. Jarang kata saya; barangkali juga ada. Usia yang masih belum matang satu ketika dahulu, saya dan rakan-rakan pernah berusaha menyorok sebanyak mungkin bahan bacaan yang pentung di perpustakaan – membuat semacam satu pertandingan membaca. Kadang-kadang semua itu membuahkan kelucuan apabila dikenang-kenang. Ada program seperti NILAM misalnya, tapi kami lebih gemar berbincang secara terbuka kerana kami fikir program seumpama itu tidak sesuai untuk kami. Kami akan lebih banyak menipu untuk menulis seberapa banyak sinopsis justeru kami tidak endah dan terus berbincang sesama sendiri seperti lazimnya.

Saya secara peribadi memang menggemari juga kisah penyiasatan. Musim hujan begini saya sentiasa terkenang semula Mr. Goon yang sering kali ditipu. Gemuk yang sentiasa berakal. Cuti-cuti semester beginilah yang menyegarkan siri penyiasatan. Dan banyak lagi kekal tersimpan dan tak mungkin hilang.

Untuk menulis selama 24 jam tidak munasabah. Untuk membaca 24 jam tentu memenatkan. Jadi saya kadang-kala suka mengimbau kenangan-kenangan lalu. Masih soal serius yang 'diringankan'. Hujan yang menyejukkan mengingatkan saya tentang banyak kisah.

Tidak saya sangka buku anak-anak yang pernah saya baca sekian lama dahulu menjadi ulasan yang akademika dan kritis daripada seorang tokoh terkemuka sehebat Profesor Diraja Ungku Aziz!

Maharaja yang gemar menyarung fesyen terkini sehingga mengendahkan rakyat. Hari perbarisan yang menjelang. Dua tukang jahit yang pergi ke istana untuk menipu. Berusaha untuk menyogokkan janji-janji manis. Matlamatnya wang emas yang bertambun-tambun. Pura-pura menenun kain sutera dengan memek muka yang bersungguh. Maharaja tertarik. Sehinggalah hari perbarisan tersebut seorang budak kecil menegur. Katanya maharaja hanya berseluar dalam dan separuh telanjang.

Cerita pendek ini dari Denmark tulisan Hans Christian Andersen. Judul asalnya ialah The Emperor’s New Suit atau kita menemukan juga tajuk The Emperor's New Clothes. Pernah juga diangkat ke layar oleh Walt Disney Productions pada tahun 1953. Buku ini boleh jadi bersifat biasa sahaja jika dilihat sekali imbas. Itu jika dilihat pada lapis pertama. Ketika zaman bocah dahulu tentu ramai yang menyangka ini kisah lucu. Kisah yang penuh jenaka untuk mengulit tidur.

Namun, tatkala meningkat dewasa, analisis yang lebih kreatif perlu dilakukan. Otak merangsang berbagai-bagai impuls untuk berfungsi secara seimbang. Kanan dan kiri saling berpadu. Maka kita boleh melihat cerita menarik ini dari sudut yang berbeza.

Politikus yang membaca dengan giat akan 'disuakan' dengan sindiran tajam di sebalik kisahnya. Remaja yang meneliti akan terangsang untuk menjadi manusia yang beraspirasi kelak.

Inilah yang disebut sebagai Weltenschaaung. Etimologi perkataan ini dari Jerman. Welt bererti dunia dan schaaung merujuk kepada sudut pandang. Dalam kaedah Islam, dipanggil juga tasawwur atau taswir; gambaran atau bagaimana kita memandang sesuatu.

Percy Williams Bridgman, pemenang Hadiah Nobel 1946 dalam bidang fizik dari USA menghuraikan perkara ini secara menarik serta menyebut Weltenschaaung sebagai transformasi pengetahuan untuk berfikir secara inovatif. Matlamatnya untuk melihat persepsi dunia dalam pelbagai cara tertentu. Hal ini boleh dirujuk lebih rinci dalam Dimensional Analysis, Yale University Press, New Haven.

Jadi, jangan fikir buku kecil yang sedang kita pegang itu tidak bermanfaat. Sekecil-kecil buku, intinya dituang dengan bancuhan ilmu dengan langgam bahasa yang dicanai oleh pengarangnya. Sebesar-besar buku pula barangkali ada yang benar-benar membantu tidak kurang juga yang kosong isinya.

Moyang kita zaman silam terlalu hebat daya fikirnya dalam seni kepengarangan. Bukan sahaja hebat bentuknya tetapi lebih jauh lagi isinya sangat menggugah pemikiran. Inilah kerja sepanjang hayat yang perlu diteruskan.

Hikayat Hang Tuah misalnya kekal misterius dan mandiri. Dari segi puitika misalnya – masih menjurus kepada seribu satu buah fikir yang dapat digali secara berterusan. Datuk nenek kita menulis cerita sebegitu demi menyarankan cucu piutnya menelah gagasan bangsa secara matang. Untuk mengekalkan budaya zaman-berzaman. Mana ada lagi mat motor atau minah fesyen atau punk pada zaman itu!

Persuratan kita pada zaman dahulu amat besar jasanya pada pembangunan hari ini. Mana mungkin semua itu dapat dilupakan (meski hampir terkubur tanpa nisan). Kita yang masih hidup perlu menjadi pelajar kembali. Membedah segenap khazanah yang ditinggalkan.

Sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadis sahih :
"Siapa yang berkehendakkan dunia, maka hendaklah ia dengan ilmu, dan barang siapa berkehendakkan akhirat, hendaklah ia dengan ilmu, dan siapa yang berkehendakkan kedua-duanya sekali (dunia dan akhirat) hendaklah ia dengan ilmu."
Oleh itu, jangan terpedaya dengan tajuk entri ini! Kembali ke 'zaman maharaja bogel' itu bermaksud saya kembali bernostalgik. Peristiwa-peristiwa silam ini sebenarnya ialah sebentuk kekuatan yang akan membantu kita lebih berdaya saing dan produktif.

Kerana saya optimis manusia bermula dari sesuatu yang amat kerdil untuk menjadi yang besar, bermula setitik untuk menjadi sebaldi, dan seterusnya begitulah fitrah yang sudah diciptakan.

Kini saya kembali terkocoh-kocoh mencari di mana buku Maharaja Bogel itu di rak-rak buku saya. Di mana buku kenangan itu ... di mana. Putar lagi ingatan. Di mana? Oh sudah berhabuk rupanya.

Hegemoni, Homofili & Kuini

Rasa tertekan hari ini? Atau keletihan kerana otak tertumpu kepada bacaan yang terlalu serius?


Elok kita berehat dengan bicara-bicara santai. Santai kata saya kerana sambil membaca tulisan ini, sambil mencicipi teh camomile atau sesekali beralih angin dengan kopi somali. Kita berbincang secara dua hala supaya lebih mesra dan idea pokok dapat dibentuk dengan lebih mudah.


Pertama-tama semoga pembacaan yang cuba kita langsaikan selama ini menyegarkan diri sendiri, kemudian beralih kepada kelompok masyarakat untuk kita terjemahkan. Seperti kata Saidina Ali karramallahu wajhah:

Barang siapa yang ingin menjadikan dirinya pemimpin, ia hendaklah memimpin dirinya sendiri sebelum memimpin orang lain.

Pembaca yang ghairah untuk menjadikan dirinya berilmu seterusnya beramal dengan ilmunya itu ialah pemimpin. Pemimpin dalam konteks yang sangat luas.

Kita ambil satu contoh mudah. Semasa kecil, mungkin datuk nenek pernah memperkenalkan kita dengan ikan sebelah – kononnya ikan ini pernah dimakan oleh nabi; kerana itu ikan itu pesek. Jadi adakah kita mahu mengambilnya begitu sahaja? Atau memegang terus kata-kata itu untuk disebarkan untuk piut kita pula kelak?

Dengan pembacaan yang bertubi, kita diajar menganalisis dengan waras. Ini hakikat yang tak boleh dibuat-buat. Dunia pembacaan tidak tertumpu kepada soal serius sahaja. Cuma harus dimulakan! Apabila bermula kata saya, lambat bangat kejayaan akan dicapai.

Seorang anak membaca wajah ibunya saat keluar dari rahim, memesrai, dan belajar menangis apabila ibu tidak berada di sisi. Itu juga membaca sebetulnya cuma bezanya itu gaya bacaan seorang bayi. Meningkat sedikit kita belajar membaca watak dan personaliti. Mungkin kita akan samakan ayah dengan Perdana Menteri walaupun dia hanya seorang petani. Dan asas ini sentiasa meningkat dari masa ke masa dengan cara merangsangkannya. Banyak cara membuat kita teruja atau terangsang.

Tiga adunan yang kerap saya fikir-fikirkan sebelum ini saya perturunkan sepenuhnya. Hegemoni, homofili, dan kuini. Semua itu saya cantumkan biarpun letak duduknya sangat terasing.

Para remaja mungkin agak terkejut mendengar tiga perkataan ini. Itu rumusan saya sesudah saya ajukan perkataan-perkataan ini kepada beberapa orang kawan. Kesimpulannya, tidak tahu!

Saya tidak kecewa langsung. Perlukah kecewa sementara waktu yang masih ada ini? Masa masih ada dan kita boleh menelitinya, mengadun satu ramuan untuk menyegarkan anak bangsa.

Hegemoni. Di peringkat politik hegemoni banyak definisinya malah bercabang-cabang dengan pelbagai pendapat. Cumanya biarlah kita bertatih untuk mendalami hegemoni di peringkat awal.

Seperti bicara awal tadi, kita banyak diperkenalkan dengan cerita-cerita aneh oleh orang-orang tua. Kadang-kadang tentang petua atau adat, misalannya kalau tidur di atas sejadah alamatnya badan dijangkiti kurap. Atau kisah hantu raya, atau cerita pelesit. Semua ini tanya saya – adakah kita terus meletakkannya terus ke dalam benak tanpa menyaringnya sedikit pun? Habis saja anda menjawab soalan itu, maka itulah yang kita sebut hegemoni secara mudah!

Huraiannya hegemoni ialah satu anasir asing yang tak pernah kita ketahui lalu secara tiba-tiba mewabak dalam peringkat individu kemudian bercambah kepada masyarakat. Kalau bidang siasah, perkara anasir itu disebut sebagai pengaruh meluas ke atas satu-satu negara atau jajahan. Dalam konteks pembacaan, ini sangat penting kerana cengkaman hegemoni terlalu kuat sehingga pada satu tahap tidak boleh digugah langsung.

Saya berikan satu contoh hegemoni. Teori Darwinisme adalah yang terbaik. Inilah peringkat jajahan paling ketara dalam skop mentaliti masyarakat am. Bagaimana buku The Origin of Species lahir dan ketika itu teori bangang tentang antropologi meresap dengan cukup berkesan. Anda fikirkan, bagaimana hegemoni boleh hidup dalam sesuatu yang amat bodoh dan sesekali hegemoni boleh hidup pada ketika sesuatu itu amat cantik! Novel-novel picisan yang kita baca bermula dengan suatu yang indah dengan canda-canda syahdu, ayat-ayat bombastik, elusan ghairah, tapi tanpa kita sedari itulah dos hegemoni yang tersisip sungguh halus. 

Bertenang. Anda boleh menambah teh atau kopi dengan menuangnya dari teko jika cawan anda sudah kosong.

Kemudian fahamkan hegemoni sebagai dominasi asing yang mutlak terhadap apa sahaja seperti budaya, bacaan, serta negara. Namun sesuatu masalah pasti ada cara penyelesaiannya. Kalau orang sufi yang mengamalkan terapi, akan dicari mana puncanya sesuatu penyakit itu barulah terapi itu dijalankan. Tanpa punca perlu diakui, terlalu sukar untuk menyelesaikan apa jua masalah.

Hegemoni fikir saya boleh kita beresi dengan homofili. Bunyi serasi benar dengan kesamaan rima, tapi hakikatnya ini dua benda yang berbeza.

Homofili untuk penekun dunia komunikasi akan menganggapnya sebagai suatu yang wajib dipelajari. Banyak situasi memerlukan kaedah ini.

Andai kata hal ini kita ketahui dan kita menceduk jernihnya, membuang keruhnya, saya optimis masyarakat akan mula sedar – insaf – bangkit.

Asas paling cocok dalam dunia komunikasi ialah penyampaian info serta maklumat dengan kesamaan. Kesamaan inilah takrif ringkas bagi homofili. Lawannya heterofili iaitu ketidaksamaan. Kesamaan bagaimana? Boleh sahaja sama dari segi hobi, kepercayaan (misalnya animisme seperti zaman purba), pendidikan, pangkat, sosial, atau apa-apa yang berkaitan rasa nurani.

Hujah saya tentang homofili, pastinya akan memetik kata seorang tokoh Perancis iaitu Gabriel Tarde. Katanya, “Hubungan lebih mudah terbina antara individu-individu yang memiliki kesamaan dalam kedudukan dan pendidikan”. Begitulah sedikit banyak petikan kata daripada pakar sosiologi ini. Juga dikatakan seseorang itu akan cenderung untuk gagal sekiranya berhubung secara ketidaksamaan.

Sebagai contoh, pak imam tak akan berkahwin dengan penyanyi fantasi-fantasi, atau aktivis bahasa Melayu tak akan menyokong mulut-mulut celopar yang memusnahkan bahasa itu. Lazimnya begitulah.

Justeru apa kaitannya homofili ini dalam dunia buku? Dengarnya macam tidak munasabah bukan? Tetapi saya memandang idea ini dari sudut yang sedikit berlainan. Saya suka menamsil dengan satu bulatan kerana bentuk ini terlalu menyuguh minda supaya berfikir. Dua manusia – bergerak dalam bulatan apa hasilnya? Jawapannya tentulah mereka akan bertembung. Asasnya pusat bulatan, jejari atau lengkok itu ialah cabangnya.

Maka tembungan itu ada kelebihan pada kita. Manusia yang sama minatnya bergerak dalam satu tapak akan menjadi kuat tidak kira dalam segi apa pun. Ideanya lebih mudah diterjemah. Manusia ulat buku bertemu ulat buku sungguh hebat! Banyak perkara yang boleh terlaksana. Maka gabungan manusia-manusia itu hasilnya ialah kelahiran komuniti yang bermula daripada situasi homofili. Hal ini berakhir dengan suatu kekuatan tentunya.

Dan komuniti memerlukan individu yang cergas dan cerdas memberikan sepenuh komitmen dalam apa-apa pun aktiviti yang dilaksanakan.

Paling akhir, kuini. Agak lucu barangkali bunyinya. Saya sengaja meletak kuini. Mungkin ada yang menyangka itu ialah teori atau mungkin ada yang menyangka itu ialah nama model yang dipatenkan, atau lebih terjejak ada yang menganggapnya sebagai Kuini Laliha iaitu tokoh besar dari Hawaii.

Semua itu boleh jadi kerana ada relevennya. Tetapi yang sebetulnya saya hanya mahu membicarakan sejenis buah. Buah kuini. Tujuannya untuk menjadi pelengkap istilah-istilah sukar di atas. Tamsilnya, kuini ini ialah sejenis buah yang berbau. Kalau di daerah saya, buah ini dijadi ulam semasa makan. Baunya tidaklah seperti durian tetapi tetap ada hebatnya. Kuini juga disebut bacang di sesetengah tempat. Dan anda ketahui pepatah Melayu tentunya; bau-bau bacang.


Baunya itu menunjukkan kelangsungan dalam sesuatu perkara. Itulah falsafah yang mahu ditonjolkan oleh pepatah Melayu tersebut. Maksudnya, meskipun jauh secara relatifnya namun hubungan tetap berlangsung seakrabnya. Dan dunia perbukuan memerlukan sesuatu yang segar ‘bau’-nya. Bukan hari ini bersemangat besok tidak. Hari ini berminat dalam soal serius lusa mula menyampah dengannya. Itulah pentingnya kita mengetahui hegemoni untuk membendungnya dengan kaedah homofili. Analoginya buah kuini yang berbau itu. Mudah bukan?

Buku ialah pelaburan – hanya dapat dihayati dengan cara yang berterusan. Mulalah dari peringkat asas, yang penting bukan hangat-hangat tahi ayam.

Oh ya, sebelum terlupa mari habiskan teh atau kopi yang sedang kita minum serta kemanisannya di halkum itu bersekali dengan kemanisan dunia buku dan kondisi ilmiah.

Menjadi Pemula Bulatan

HEBAT atau tidak seseorang itu dapat sahaja kita nilai mengikut upaya akal masing-masing. Tentulah sesuatu yang tidak berasas apabila 'manusia pintar' tiba-tiba menghukum 'manusia bodoh' kerana ketidaktahuannya.


Apa yang hadir di sekeliling sebetulnya merupakan anugerah. Tidak kiralah binatang atau tumbuhan atau boleh jadi pakaian serta kenderaan. Semua itu anugerah. Lembu misalnya menghasilkan perahan susu; dagingnya  pula kita makan, kunyah, seterusnya dicerna. Begini takjub jika kita sempat secara hemah menilai proses kitaran alam. Semua berlaku dengan terancang dan berulang-ulang.


Kita makan dan lena juga merupakan ulangan sama yang memerlukan suatu 'pemula'. Pemula amat penting.  Tiada pemula, tiadalah pengakhir. Katakan kita mahu memandu kereta, tentulah yang paling awal dan terlebih dahulu kita perlu memastikan enjin berfungsi dengan baik. Kemudian, baru hadir perkara-perkara lain seperti tahap kelajuannya atau reka bentuknya - yang memerlukan modifikasi khusus. Namun paling signifikan adalah sama ada bergerak atau tidak; sebagai memenuhi fungsi sebuah kereta.


Nah, inilah yang saya maksudkan sebagai pemula!


Charles Mahowald, teman maya saya dari United Kingdom. Kami pernah akrab beberapa ketika sebelum dia mula menyepi dan menumpukan tugasnya dalam bidang komunikasi di negaranya. Bahasa Inggerisnya selalu beradab dan berupaya menerangkan sesuatu. Andai salji yang diterangkan kepada saya, dalam benak, saya mampu menggambarkan kegebuan dan keputihan salji tersebut.


Terus-terang dia menegaskan dan menegaskan kepada saya betapa setiap warganegara wajib mahir tentang kesusasteraan negaranya untuk menjadi lebih bermaruah. Rakyat negaranya perlu menyorot 'dunia sebelah sana' dengan soneta-soneta terpilih William Shakespeare, novel-novel Jane Austen, dan tentunya buku-buku akademik Henry Adams. Dia bukan penuntut bidang ini tetapi kerap meyakini budaya Barat akan lestari sekiranya industri perbukuan diperlebarkan, ruang wacana dibuka, dan benih diskusi disuburkan.


Memang kita akan berbangga benar dan tersenyum mewah dengan peratusan celik huruf di Malaysia yang secara kasar sudah pun mencecah angka 93% pada akhir abad ke-21. Peratusan masyarakat ulat buku pula meningkat kepada 87%. Saya menaruh harapan, peratusan itu akan bertambah dari masa ke masa.


Walau bagaimanapun, kebanggaan itu kurang berasas untuk ditonjolkan setiap detik dan momen sehingga kelemahan-kelemahan 'terasing' dipandang enteng sahaja. Tak mengapalah buat acuh tak acuh saja, hujahnya mungkin berbunyi begitu. Tanya saya, berapa banyak pula daripada peratus itu membaca bahan-bahan ilmu dan 'helaian tamadun'? Jika ada, setakat manakah kelangsungan tabiat itu?


Persoalan tersebut mungkin klise atau bersifat 'tempurung'. Namun pada hemat saya, negara kian bermasalah dari sudut pemula. Ya, kita ketandusan pemula yang perkasa. Secara realistik, masalah ini pastinya membarah jika tidak ada swadaya atau sekurang-kurangnya diagnosis awal.


Luqman al-Hakim, contoh terbaik dalam pendidikan. Katanya penuh mutiara, kadangkala seperti buah ranum yang rasa manisnya lengkit di kerongkong. Pernah suatu hari, Luqman berkata kepada anak-anaknya:


“Wahai anakku sayang, kalau sewaktu kecil engkau rajin belajar dengan tekun menuntut ilmu sebanyak-banyaknya, maka apabila kamu dewasa kelak (hari tua) kamu akan memetik buahnya dan kamu akan menikmatinya.”


Akan anehlah jika hari ini, seorang remaja berusia hijau tiba-tiba bangkit membuat kenyataan, dia mahu ke Palestin untuk mempertahankan kedaulatan tamadun Islam. Atau mahu ke Turki, menghapuskan sekularisasi. Tentu tidak siuman! Tidak siuman kerana dia bertindak tanpa sebarang bekalan. Hanya memberi alasan mahu mencontohi Rafiq bin Hadiq, remaja 13 tahun yang penuh bersemangat untuk menyertai Perang Uhud, ghairah pula berangan-angan menjadi pemuda gua dalam Surah Al-Kahfi.


Mereka barangkali kurang jelas tentang ibrah atau pengajaran yang perlu disaring dari zaman silam. Betapa generasi lampau itu sebenarnya bermati-matian mengapungkan pelbagai disiplin ilmu terlebih dahulu sebelum berani untuk 'memilih' lantas 'memutuskan' sesuatu. Sejak dahulu hingga sekarang, pejam celik pejam celik, zamannya tetap zaman manusia jatuh bangkit dengan santapan ilmu yang dihadam secara penuh luar biasa. Berlumba-lumba kalah menang pun dengan ilmu. Dahulu, tanpa mencongak strategi yang waras, pasukan itu akan kalah dalam perang. Siapa kuat dialah jaguh.


Pemula kalimah Al-Quran adalah membaca. Saya ulang, membaca. Semua sudah tahu bahkan satu planet pun tahu. Ya, membaca. Semua sudah tahu, saya yakin sungguh.



Saya terimbau kisah sewaktu kecil, semasa usia masih setampuk pinang, saya sentiasa tergiur dengan kisah pelbagai ragam. Terlalu khusyuk menekuni keanehan cerita rakyat dari negara-negara berbeza. Akrab dengan kisah binatang, kaget dengan kisah cinta putera puteri dongeng Barat. Buku-buku kenangan itu kekal ada, elok tersimpan di kutubkhanah mini saya.


Kadangkala saya terperasan miracle dalam setiap patah buku yang dibaca. Masakan tidak! Seorang anak kecil yang 'mogok' tidak mahu tidur, terus nyenyak bermimpi – hanya dengan sebuah buku! Boleh pula rasa marah, empati, sedih, kecewa berbancuh sama sebagai multiemosi.


Tatkala usia kian meningkat, mungkin kita berjinak pula dengan akhbar kemudian majalah, seterusnya buku serius. Lihat! Inilah peringkat-peringkat yang perlu diberi perhatian. Pembacaan akhbar misalnya dapat dilihat begini – peringkat pertama, kecenderungan jelas ke arah berita hiburan dan sukan. Gemar mengumpat tentang selebriti itu selebriti ini, siapa lebih kacak siapa lebih segak. Dan selepas itu, perlahan-lahan 'bermuhasabah' kepada isu dunia yang rencam; juga menukar tabiat lama yang lapuk dengan membaca lidah pengarang.


Jadi 'anak tangga usia' ini sangat signifikan untuk dibahaskan secara santun.


“Saya sudah membaca.” Sudah jenuh pernyataan ini. Para pelajar khususnya, yang masih terkurung dengan otak yang 'diprogramkan sistem dan dasar'. Membaca buku teks dan rujukan pelajaran itu sahaja sudah amat dibanggakan. Heboh satu dunia. Saya fikir, pemikiran terkurung seumpama ini semakin menjadi-jadi jika tidak ada kesungguhan menerangkan konsep kecemerlangan hakiki dalam membina tamadun unggul.


Elok benar jika isu ini kita perpanjangkan dalam sembang yang mendatang kerana hal ini lebih kepada faktor sikap. Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri! Saya menggemari tajuk dan intipati buku nukilan Pendeta Za'ba ini. Sikap dan perangai yang tidak berubah, sebab itulah statistik pembacaan masih statik, pegun tidak berubah-ubah.


Saya kategorikan bahan asas yang dibaca golongan negara ini:


1. Akhbar (ilmu apa jika akhbar dibeli tujuannya hanya untuk menatap gosip, melihat ruangan kartun, atau lebih parah menilik sports toto!)


2. Majalah (ilmu apa jika isu artis tampar-menampar dan bergocoh, selebriti berkahwin selepas itu bercerai -berai sahaja menjadi topik hangat?)


3. Buku (ilmu apa jika membaca buku ilmiah satu perenggan, terus lempar ke dinding?)


4. Blog (ilmu apa jika selepas meneliti entri, berani carut-marut dan maki-hamun di ruang komentar tetapi pengecut mendedahkan identiti)


Bahan dan senario yang saya catatkan ini, hanya sebilangan ragam. Banyak lagi yang dapat dirakam, sebagai contoh semasa duduk santai sambil melihat pelbagai fiil teman-teman saya yang membaca dua tiga buah novel picisan sehari dengan ayat penuh perasaan. Mungkin terakam apabila melihat remaja-remaja yang membaca khusyuk kitab agama tetapi perangai di stesen bas macam kambing semput. Tidak senonoh pula di hadapan pak cik dan mak cik yang berusia.


Iklim pembacaan yang tidak betul inilah yang saya kesalkan, saya tanam, dan semai dalam benak agar boleh dibaiki segera. Secepat mungin. Paling utama, kesedaran tentang membaca sebagai pelaburan hingga ke akhir hayat manusia perlu diwarnai dengan corak yang menarik.


Sekarang masa bertindak, masa bergegas untuk melakukan. Sesekali mungkin boleh kita termenung, dengan menungan muhasabah, tetapi kemudian mesti bangkit semula! Musuh luar sudah menyusup perlahan-lahan. Saya tidak dapat menjamin industri perbukuan negara sedekad lagi sifar bahasa rancu atau bebas pluralisme. Masa tidak dapat berbuat apa-apa melainkan kita pantas mewujudkan generasi pemula ini.


Masih keliru dengan pemula? Pemula dalam konteks alam ilmu dan perbukuan secara mudahnya dapat kita maksudkan sebagai kelompok yang mula yakin dengan potensi diri sendiri, tahu kekuatan dan bakat yang dianugerahkan, membaca bahan yang merangsang rohaniah, berkumpul di atas satu saf ummah seterusnya mengaplikasikannya dalam pembinaan masyarakat madani. Yakinilah, Barat akan tertewas dengan cara ini.


Tentu menarik jika kita bina satu kumpulan pemikir muda dari zon usia masing-masing (katakan zon 80 itu bermula daripada individu yang lahir bermula tahun 1980-1989) – menetapkan sejumlah buku yang patut dibaca, kemudian membincangkannya, berbahas jika perlu, dan membina satu bank idea. Bank idea yang akan dipenuhi dengan gagasan-gagasan yang sebelumnya disifatkan underground dan terpinggir. Zon-zon tersebut kemudiannya digabungkan untuk melahirkan sinergi yang bermakna. Seperti sebuah bank, bila-bila masa sahaja 'khazanah' yang ada di dalamnya dapat dikeluarkan pada saat-saat genting dan memerlukan. Atau banyak lagi aktiviti positif yang mampu dijadikan sebagai asas. Alangkah bagusnya jika bayangan dan cetusan ini benar-benar wujud di negara kita.


Bagi saya, landasan utamanya tetap starting point dan tidak lupa turning point juga!





Anologinya mudah. SATU BULATAN. Anda bergerak sahaja pada mana-mana titik bahagian bulatan itu. Di manakah anda akan berakhir? Lambat bangat, anda akan berakhir di titik asal sewaktu mula bergerak tadi, bukan? Berakhir dengan tujuan yang telah mula-mula dan awal-awal lagi kita tetapkan. Maka, itulah nikmat, keistimewaan, dan maslahat yang dicicip terus-terusan. Seperti kata saya awal tadi, proses ini semacam bulatan yang bergerak berulang-ulang kali. Ingat ya, bulatan.


Apa lagi? Ayuh bergerak terus Ahad istimewa ini pada titik pertama bulatan.


Bersedia. Bergerak.
Dan bacalah!




NOTA: Tiga tahun lalu, saya pernah mengisi pojok Sembang Ahad di portal bukuonline.org kelolaan Abang Khairusy Syakirin Has-Yun dan teman bukuwan lain. Setiap Ahad, tulisan saya mengenai buku dan remaja akan dimuatnaikkan. Untuk siaran blog ini, saya memilih untuk lebih menokok dan menyunting perenggan-perenggan penting supaya pemikiran yang saya bentangkan kian terang & jelas.