TUAH SUJANA

menjadi pemula bulatan

PPSMI & Sewaktu Dengannya (Satu Introspeksi)

1. Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) diumumkan semalam (walaupun ada desas-desus penangguhan). Produk kali ini masih 'tikus putih' yang 'dimakmalkan'. Eloklah dengan semangat 1Malaysia, kita semua berbangga kerana bilangan pelajar yang memperoleh A semakin meningkat. Dengan semangat 1Malaysia juga, eloklah kita berasa sedikit 'terketuk' dengan kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom. Kata beliau, "Diukur dari Gred Purata Mata Pelajaran, Bahasa Melayu menurun dari 2.40 kepada 2.42, Bahasa Inggeris turun dari 3.21 kepada 3.25 dan Bahasa Punjabi turun dari 1.70 kepada 2.02." (KLIK DI SINI) Kasihan, itu pun masih nak bercakap pusing-pusing!

2. Kalau Gred Purata Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris menjunam sebegitu, akan jadi apa pula dengan dasar 'manis' terbaru, Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI)? Sudahnya, negara kita hanya menjadi kilang-kilang pembuat dasar murahan. Diskaun atau jualan mega pun tak laku. Yang kita hairankan, apabila 'tauke kilang' bercakap, waduh, muluk sungguh! Sebenarnya, habuk pun tiada. Masih menyorok dengan kenyataan yang dibuat-buat dan bermain silap mata. Sehingga sekarang - selepas berbelas-belas tahun bergelar pelajar - saya cukup terkilan dengan sistem pendidikan negara yang bagi saya, semakin merudum jatuh. Memang fatal atau malapetaka tersebut sengaja dicari-cari. Apa lagi dapat dikatakan?

3. Tulisan ini memang reaksi kemarahan seorang remaja. Saya mungkin tidak sertai demonstrasi PPSMI tempoh hari, ya, tetapi ketika demonstrasi itu juga saya sedang 'berhempas-pulas' dengan 'permainan' sistem itu sendiri. Saya 'tikus putih' kedua yang 'dibedah siasat' oleh 'pencopet bangsa' dan 'saintis-saintis' yang majal'. Namun begitu, jangan fikir saya terlalu bodoh untuk membuntuti begitu sahaja dasar yang cukup bobrok ini. Ketika peperiksaan UPSR lagi kemudian PMR, seterusnya SPM; saya memilih untuk menjawab kesemua soalan Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda! (ya, saya pelajar sains tulen yang gagal). Walaupun dileteri berkali-kali oleh guru, saya tetap tidak rela bahasa ibunda senang-senang diperkosa. Biarlah saya memilih untuk menentang arus, saya yakin itu lebih afdal dan selari dengan prinsip yang saya pegang.

4. Jika sesiapa melakukan soal selidik di sekolah, anehnya, mungkin terdapat fenomena yang menunjukkan sebilangan (atau boleh jadi majoriti juga) pelajar berkata: saya lebih selesa menjawab Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (baca: saya sokong PPSMI). Itu pengalaman saya tatkala berada dalam realiti sebenar. Saya tidak terkejut. Malahan saya yakin, jika terdapat pihak yang masih kekal mempertahankan dasar ini, para pelajar akan memilih sahaja untuk berada di 'zon ikutan'. Taklid buta. A dihidangkan, A jugalah yang ditelan. Tidak menghairankan kerana sifat remaja itu sendiri memang mengikut sahaja acuan yang disediakan. Salahnya, 'penyedia acuan' itu. Maka, saya tidak akan memaafkan dosa 'dua tiga kerat generasi lalu' yang tidak berbuat apa-apa untuk mencorakkan 'keseluruhan generasi hari ini'. Dalam erti kata lain, tidak akan memaafkan sedikit pun tindakan tersasar yang sengaja ditempah oleh mereka yang beragenda. Mereka ini patut diajar dengan legenda Singapura Dilanggar Todak. Yakinlah, bukan seorang dua Hang Nadim versi baru yang akan bangkit 'mengajar' ketidakcerdikan dan kependekakalan orang-orang berkenaan.

5. Cuba bayangkan realiti sebenar yang dihadapi oleh seorang guru pelatih (saya fokuskan guru, kerana guru itu pernah dididik dan kemudian bakal mendidik). Katakan guru pelatih ini Y. Y berada di lapangan sains. Bayangkan semasa di bangku sekolah rendah, Y belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Begitu juga apabila Y ke sekolah menengah. Ironinya, tatkala beralih ke institut perguruan untuk menjalani kursus perguruan, Y diajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris - sejak PPSMI dicanang-canangkan. Selepas itu, Y akan menamatkan kursus perguruan tersebut pada tahun 2012 dan memulakan kerjaya sebagai guru bertauliah. Bermakna, Y kembali mendidik anak-anak muridnya dalam bahasa Melayu kerana pemansuhan PPSMI juga pada tahun 2012. Itu pun kalau PPSMI dimansuhkan. Nah, apa reaksi anda? Betapa pening dan lingkupnya sistem pendidikan di Malaysia hari ini. Itu pun masih gatal-gatal menyebut, oh ini kejayaan sistem pendidikan negara. Hakikatnya, kalau dengan rasional ini pun kita masih memilih untuk menjadi pengekor, silakan. Tidak ada perkataan lagi yang mampu digubah. Kalau Ronald Eemmerich sudah membikin filem 2012 mengenai dunia yang akan berkecai, molek sungguh kalau ada sutradara Malaysia yang membikin pula filem 2012 mengenai sistem pendidikan kita yang akan berkecai (jika tidak ada perubahan yang meyakinkan).

6. Hubaya-hubaya tulisan entri ini daripada seorang mangsa PPSMI yang rasa bertanggungjawab untuk memulangkan kembali kejelikan yang telah 'dihadiahkan'. Selama ini, saya hanya memendam kemarahan dari dalam dengan memujuk diri untuk mengatakan; pembuat dasar itu nyanyuk dan sudah terkeliru antara batu dan kayu, kerbau dan lembu. Cuma, saya sedikit terpanggil untuk mengungkapkan kembali idea Everett W. Reimer dalam bukunya School Is Dead: Alternatives In Education. Idea school is dead ini bagi sesetengah orang barangkali mengundang polemik panjang. Saya juga tidak bersetuju dengan idea Reimer ini secara total. Namun, dari sisi lain, pandangannya masih dapat diterima pakai dan relevan. Sekolah seperti sebuah kilang yang menghasilkan produk-produk klon. Kata Reimer tentang ilmu yang dipantakkan di sekolah: knowledge divorced from both its origin and its applications. Selain itu, teman Reimer, Ivan Illich turut merakamkan gagasan sealiran dalam Deschooling Society yang terkenal dengan kontroversi untuk menyahkan sistem persekolahan itu. Pelajar itu produk yang 'disetkan' supaya begitu dan begini. Kata Illich: Many students, especially those who are poor, intuitively know what the schools do for them. They school them to confuse process and substance. Once these become blurred, a new logic is assumed: the more treatment there is, the better are the results; or, escalation leads to success. The pupil is thereby "schooled" to confuse teaching with learning, grade advancement with education, a diploma with competence, and fluency with the ability to say something new. His imagination is "schooled" to accept service in place of value. Tidak ada pendedahan kepada kematangan berhujah, berwacana, atau sekurang-kurangnya penitipan ilmu secara kolektif. Akhirnya, guru hanya ke sekolah untuk menghabiskan silibus dan beres! Juga tidak ada upaya untuk menterjemahkan konsep muallim - penuang ilmu, muaddib - pelengkap adab, juga murabbi - penghubung para pelajar kepada Pencipta.

7. Bercakap banyak memang tak guna. Kalau cakap saya tidak didengar munasabah, tetapi cakap cendekia-cendekia juga disisihkan terus semudah membuang debu di meja. Saya pun tidak menyalah guru keseluruhannya kerana kerangka sistem itu menyekat mereka. Paling menyedihkan, di peringkat atasan, langsung tidak ada iltizam politik (mereka mungkin menyebutnya political will). Ingat, tidak semua remaja bodoh apabila ditekan sebegitu seperti mitos lapuk yang sering dihadapkan. Masih ada segelintir yang cega, memiliki upaya untuk mengubah keadaan. Era generasi remaja baharu sedang disiapkan, hanya menanti detik dan ketika untuk 'diapungkan'. Semakin ditekan, disepak, diterjang - ibarat bola - semakin melantun 'bola' tersebut. Pemerintah yang bolak-balik (mereka mungkin menyebutnya flip-flop) tidak diperlukan dan tidak relevan lagi buat masa sekarang untuk membina arus ketamadunan yang berstrategi.

8. Mungkin saya agak terlambat memprotes melalui tulisan di blog tetapi pada hemat saya, isunya tetap munasabah untuk dimatangkan. Fokus mendasar saya bukan PPSMI tetapi sistem pendidikan itu secara keseluruhan. Untuk kesekian kalinya, saya tegaskan, saya mangsa PPSMI yang cabul. Dan saya memprotes dasar ini dengan mengabaikan soalan bahasa Inggeris yang disediakan dalam soalan dwibahasa. Menjawab keseluruhannya dalam bahasa Melayu; itu usaha kecil saya untuk membantah dasar bangang ini. Terima kasih kepada pejuang-pejuang yang lebih 'berusaha besar' untuk memprotes PPSMI dengan berdemonstrasi. Itu pun masih dituduh macam-macam (KLIK DI SINI). LCD dan komputer riba yang rosak bersepah-sepah, perisian untuk mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang tidak digunakan - ini gambaran semasa yang tidak boleh dinafikan lagi. Berbillion-billion ringgit dihabiskankan sebegitu mudah.

9. Hari ini, suara tokoh dan pejuang bahasa lebih mendesak (KLIK DI SINI). Isu merombak semula subjek sastera ini bukan isu baru. Tak tahulah kalau-kalau menteri masih kata ini 'komedi baru' yang dilakonkan pejuang-pejuang bahasa dan sastera. Saya fikir, eloklah diseragamkan dan diseimbangkan sahaja nisbah pelajar sains dan sastera kerana nisbah yang digunakan sekarang tidak berkesan lagi. Isu pelajar sastera bermata merah, tidak ada prospek kerjaya, dan sewaktu dengannya perlu dilontar jauh-jauh. Itu pun kalau masih ada keinginan untuk mendapat mandat daripada rakyat pada masa akan datang. Apa pun, tunggu dan lihat sahaja. Kalau gesaan lain dapat kita berikan perhatian (KLIK DI SINI), saya mahu melihat apa respons menteri kali ini. Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Ini suara rakyat, kita lihat sahajalah sama ada didahulukan atau 'dihulukan'.

10. Dalam semangat 1Malaysia ini, marilah sama-sama kita berdoa semoga produk-produk PPSMI ini berjaya. Kalau tidak jadi doktor atau jurutera pun, sekurang-kurangnya dapat jadi pereka cipta yang dapat mereka cipta alatan paling canggih untuk mengesan 2 enjin pesawat F-5E milik negara kita tercinta yang lesap entah ke mana. Mesti jumpalah. Jangan lupa, alat pengesan itu manualnya dalam bahasa Inggeris bukan bahasa Melayu!


SELAMAT MEMBELI-BELAH SEMPENA JUALAN 'KEMBALI KE SEKOLAH'!


0 Komentar:

Catat Ulasan

TS mengalu-alukan hujahan/ ulasan yang deskriptif dan mematuhi susila.