TUAH SUJANA

menjadi pemula bulatan

Naskhah Cuti (Satu Retrospeksi)

CERITA 'CINTA'

1. Karya-karya Aminah Mokhtar sungguh luar biasa. Bahasanya mungkin sederhana tetapi nikmat dan semangatnya cukup berbisa. Sejak itu, saya tidak pernah percaya penulis istimewa ini hanya menulis dengan pena, bahkan turut mengapungkan 'jiwa' dan 'cinta'.


2. Awal tahun lalu, ketika saya mengutus e-mel untuk menghargai sumbangan pentingnya kepada anak bangsa, Kak Min membalas, "Alhamdulillah, terima kasih kerana sudi membaca karya-karya Kak Min. Kak Min perlukan pembaca-pembaca atau penyokong-penyokong perjuangan Kak Min untuk terus berusaha menghasilkan karya-karya motivasi. Sokongan itu begitu bermakna bagi Kak Min. Kita sama-sama berusaha dan berdoa agar mampu untuk memberikan sumbangan yang mampu memanfaatkan orang lain."


3. Saya tidak pernah mengenali Aminah Mokhtar secara peribadi, namun meyakini watak-watak yang dipaparkan itu ialah salinan dirinya sendiri. Tanpa berselindung, saya rasakan sebuah tapak yang lebih agam perlu disediakan untuk Kak Min dalam lapangan kesusasteraan Melayu khususnya kerana penguasaan dalam pelbagai genre. Jarang penulis di Malaysia memiliki kemahiran dalam semua lapangan. Sajak, cerpen, novel, malah skrip drama radio dan televisyen. Lebih penting, ketokohannya sebagai penulis dan jururawat sekaligus.


5. Cuti semester kali ini, saya sempat menyambar 3 novel Aminah Mokhtar di toko buku; menyimpan tekad untuk melangsaikannya di samping meneruskan bacaan-bacaan lain. Manis dan berhalwa sekali sesudah saya melunasi 'hutang' tersebut!


KUUSIR LARA INI (KLI)



1. Saya membeli buku ini dua kali; pertama sebagai hadiah untuk teman dan kedua sebagai hadiah untuk diri sendiri. Ini buku yang saya pilih berdasarkan pengarang bukan berdasarkan topik, ilustrasi depan, atau tajuknya. Sebab itulah, saya tidak berasa canggung dan skeptikal apabila melihat penerbit KLI yang terkenal mencorakkan industri buku dengan cerita cinta murahan lagi menjemukan.


2. Seperti biasa, sesiapa yang pernah mengikuti karya-karya Kak Min akan merasakan semangat dan falsafahnya malar dan tidak berubah-ubah. Kecintaan kepada agama, bangsa, dan negara dititipkan dengan penuh kelembutan membuatkan diri tidak berasa asing langsung. Rekayasa dan nilai-nilai luhur seorang Mukmin yang diapungkan berlainan sekali dengan metod yang digunakan oleh pengarang novel Islamik lain. KLI mungkin elok dibaca sesudah letih mengunggis karya rumit seperti Soul Mountain karya Gao Xingjian.


3. Novel ini bagi saya bercapah kepada 2 sudut berbeza namun titik pertemuannya tetap sama. Pertama; kegelisahan anak bangsa di negara ini yang terus-terusan dijerumus kehidupan yang kian 'berselut'. Kedua, Aminah Mokhtar mengadunkan perbandingan dengan anak bangsa yang sama tetapi dalam rentas geografi yang berbeza - yang dilandasi kehidupan 'bersenapang' dan 'berpeluru' sepanjang detik. Perbandingan ini cukup istimewa bagi saya untuk memuhasabah jiwa remaja di Malaysia yang dilimpahi kemewahan materi dan mengabaikan keuntungan di daerah rohani.


4. Seperti membaca karya Aminah Mokhtar yang lain, air mata saya akan mengalir. KLI menjulang watak Nilam yang dilampias kesusahan dan keperitan hidup bersama Abang Han dan adik-beradiknya yang lain. Sedikit demi sedikit dipaparkan bagaimana Nilam menaiki anak tangga kejayaan sehingga berjaya menjadi jururawat yang cemerlang. Gaya biasa Aminah Mokhtar dalam penulisan yang dapat saya kesani adalah membiarkan watak-wataknya bercerita sebelum dicantumkan secara mengesankan pada peringkat akhir. Dalam novel ini sebagai contoh, e-mel yang diutuskan Putri dan surat oleh Nurain cukup untuk menjadikan pembaca murah air mata. Ternyata Kak Min seorang penulis yang bijak mengadunkan emosi.



5. Tidak lupa dijelaskan; novel ini mempunyai signifikan tersendiri kerana rasionalitinya dalam kehidupan semasa. Dipaparkan watak-watak yang terpalit 'selut kehidupan' tetapi ironinya 'selut' itu dicalit oleh seseorang yang seharusnya 'membelai'. Realiti ini sangat wajar kerana kedapatan remaja yang berusaha untuk berjaya di dunia dan di akhirat tetapi tersekat oleh faktor-faktor yang memusnahkan segala-galanya jika tidak ada pendorong dan pemujuk. Inti penting yang dapat saya ceduk ialah: sesiapa pun tidak berhak menjadi penghukum kepada orang lain kerana sejelik mana pun mereka, tetap ada ruang dan peluang untuk menjernihkan kejelikan itu.


6. Apabila berada di zon pembacaan, otak saya cepat sahaja mengaitkan dengan sesuatu 'yang lain'. Di dalam novel ini, saya terperasan kuntum-kuntum ayat yang saya rasa amat akrab dengan saya sebelum ini. Saya terpaksa menyelerakkan kembali buku-buku dan majalah untuk mencari kepastian. Betullah, rupa-rupanya pada satu sudut, Aminah Mokhtar turut menyisipkan cerpennya Suara Bulan yang disiarkan di Dewan Sastera Jun 2005. Cuma ditokok nama watak iaitu Nilam. Cerpen 'mimpi' itu menyebabkan saya tersenyum sendiri, betapa istimewanya Nilam.


7. Saya fikir, jika novel ini diberi sedikit pendedahan kepada umum, naskhahnya cukup berbaloi dimiliki oleh setiap remaja. Biar pun ringan, tetapi wacananya tetap melimpah-ruah dan mampu menyelinap kalbu.


SETEGUH FIKRAH SALEHA (SFS) & DOA INSAN BERKASIH (DIB)


1. Saya cantumkan terus ulasan mengenai kedua-dua novel ini kerana pada hemat saya, DIB sudah merangkumi SFS. Gerak watak dan alir fikirnya meniti laluan yang sama. Oleh itu, saya cenderung untuk memberi pandangan kepada DIB. Cuma, perlu dinyatakan bahawa saya amat menggemari reka letak dan ilustrasi SFS. Ton warnanya mempamerkan 'aura' watak di dalam novel itu sendiri!


2. Menyudahi DIB ibarat melangsaikan acara marathon yang panjang dan berliku. Perjalanannya rencam dan bervariasi. Namun, di akhirnya, jiwa sangat terisi dan puas. Semangat dirangsang sentiasa dan masalah yang dipikul pembaca seperti diajak untuk sama berkongsi dengan watak-wataknya.


3. Jangan lupa, DIB asalnya bertajuk Semakin Dekat dan merupakan novel agama bersiri yang disiarkan oleh Utusan Malaysia. Seperti mana Tunggu Teduh Dulu dan Salju Sakinah yang mempunyai peminat-peminat tersendiri, saya yakin DIB turut mempunyai penggemarnya termasuk saya. Malahan, saya lebih menyukai novel ini kerana diisi oleh sudut pandang perempuan oleh penulis perempuan. Berbanding kebiasaannya; sudut pandang perempuan di tangan penulis lelaki. Sebagai lelaki, saya mahu mengetahui kerangka jiwa seorang perempuan yang dibina oleh pengarang wanita. Novel ini jawapannya.


4. Sebelum ini, novel DBI turut diterbitkan dengan judul berasingan Semakin Dekat 1 dan Semakin Dekat 2. Sebagai novel bersiri di Utusan Malaysia, saya turut selesa membandingkan DBI dengan novel-novel lain. Misalnya, saya seronok membandingkan peristiwa-peristiwa serupa yang kebanyakannya wujud dalam novel bersiri khususnya di dada akhbar. Latar masa pada bulan Ramadan dan Syawal misalnya biasa terselit. Dengan itu, saya mudah untuk belajar bagaimana pengarang yang berbeza memuatkan episod-episod penting dalam novel masing-masing. Di dalam novel DBI, watak Azri Farouk yang beraya bersama dengan Mak Limah cukup mencuit hati saya.


5. DBI dibangunkan dengan watak-watak yang luhur. Banyak perkara penting yang mampu dipelajari oleh pembaca melalui watak Siti Musalmah. Percintaannya cukup istimewa berbanding 'novel-novel Islamik' lain. Dipenuhi doa, harapan, dan pengaduan kepada Khaliq. Masalah-masalah yang dihadapi oleh watak DBI pula dapat ditangani secara bijaksana oleh Aminah Mokhtar dengan menggunakan solusi Islam.


6. Seperti biasa, bagi saya, kekuatan kepengarangan Aminah Mokhtar terletak pada dialognya yang berjaya membangunkan watak perkasa. Dialognya manis dibaca berulang-ulang kali. Dialog itulah yang menemukan saya seorang Siti Musalmah yang tidak mudah mengalah oleh keadaan, berprinsip, tetapi sering memaafkan juga lembut perasaannya. Monolog-monolog yang ditampilkan juga sering melekat dalam hati pembaca, saya sering merasakan begitu. Cantuman ilmu dan pengalaman Kak Min sebagai jururawat, sebagai anak, dan sebagai ibu memungkinkan segalanya terjadi di lapangan penulisan, barangkali.


7. Mungkin ada yang mengatakan novel DBI kurang menjadi dari aspek kesinambungan antara satu bab dengan satu bab yang lain. Satu bab menampilkan Siti Musalmah, kemudian Pilus Sufian, kemudian Azri Farouk. Walau bagaimanapun, pada pandangan saya, intipati falsafahnya lebih penting untuk direguk berbanding aspek-aspek lain. Falsafahnya: sejauh mana pun kita berada dengan seseorang yang mungkin kita sayangi, jika kita beriman dan beramal, di sisi Tuhan kita sebenarnya semakin dekat. Kerana falsafah itu menjadi tunjang novel ini, saya beranggapan tajuk asalnya iaitu Semakin Dekat lebih estetik dan bersesuaian.


8. Saya amat mengharapkan DBI menjadi novel yang diangkat menjadi filem atau sekurang-kurangnya drama bersiri. Dunia perfileman negara ini sudah lama kegersangan filem-filem yang diangkat daripada novel. Dan saya melihat filem-filem 'ringan' di negara ini perlu diisi dengan falsafah yang mampu dicerna dengan mudah oleh penghayatnya. Cukuplah menayangkan cerita bohsia dan bohjan yang membodohkan. Drama-drama yang dikatakan Islamik itu juga perlu digubah lebih mendalam supaya tetap wujud wacana dan falsafah yang meyakinkan. Dialog-dialog dalam DBI cukup menarik untuk ditampilkan di layar. Malah, di tangan beberapa pengarah berbakat, sinematografinya akan menjadi sangat kuat dengan latar Kampung Nelayan yang ditukangi oleh Aminah Mokhtar. Seperti saya dapat mencium keharuman kenanga dan kesidang yang ditabur oleh Siti Musalmah di jeti! Babak-babak seperti Mak Piah yang menjadi 'pelupa' sangat mengesankan jiwa jika dapat dilakonkan.


9. Saya rasa, DBI mampu menjadi masterpiece Kak Min selepas Dominasi Tebrau dan Iman Markisa.



SEMOGA KAK MIN DIBERIKAN KEKUATAN UNTUK TERUS BIDANI KARYA-KARYA YANG ISTIMEWA SEBAGAI ALTERNATIF KEPADA KARYA-KARYA YANG TIDAK MEMBANGKITKAN JIWA NAMUN DIGEMARI REMAJA.

0 Komentar:

Catat Ulasan

TS mengalu-alukan hujahan/ ulasan yang deskriptif dan mematuhi susila.