TUAH SUJANA

menjadi pemula bulatan

Menjadi Pemula Bulatan

HEBAT atau tidak seseorang itu dapat sahaja kita nilai mengikut upaya akal masing-masing. Tentulah sesuatu yang tidak berasas apabila 'manusia pintar' tiba-tiba menghukum 'manusia bodoh' kerana ketidaktahuannya.


Apa yang hadir di sekeliling sebetulnya merupakan anugerah. Tidak kiralah binatang atau tumbuhan atau boleh jadi pakaian serta kenderaan. Semua itu anugerah. Lembu misalnya menghasilkan perahan susu; dagingnya  pula kita makan, kunyah, seterusnya dicerna. Begini takjub jika kita sempat secara hemah menilai proses kitaran alam. Semua berlaku dengan terancang dan berulang-ulang.


Kita makan dan lena juga merupakan ulangan sama yang memerlukan suatu 'pemula'. Pemula amat penting.  Tiada pemula, tiadalah pengakhir. Katakan kita mahu memandu kereta, tentulah yang paling awal dan terlebih dahulu kita perlu memastikan enjin berfungsi dengan baik. Kemudian, baru hadir perkara-perkara lain seperti tahap kelajuannya atau reka bentuknya - yang memerlukan modifikasi khusus. Namun paling signifikan adalah sama ada bergerak atau tidak; sebagai memenuhi fungsi sebuah kereta.


Nah, inilah yang saya maksudkan sebagai pemula!


Charles Mahowald, teman maya saya dari United Kingdom. Kami pernah akrab beberapa ketika sebelum dia mula menyepi dan menumpukan tugasnya dalam bidang komunikasi di negaranya. Bahasa Inggerisnya selalu beradab dan berupaya menerangkan sesuatu. Andai salji yang diterangkan kepada saya, dalam benak, saya mampu menggambarkan kegebuan dan keputihan salji tersebut.


Terus-terang dia menegaskan dan menegaskan kepada saya betapa setiap warganegara wajib mahir tentang kesusasteraan negaranya untuk menjadi lebih bermaruah. Rakyat negaranya perlu menyorot 'dunia sebelah sana' dengan soneta-soneta terpilih William Shakespeare, novel-novel Jane Austen, dan tentunya buku-buku akademik Henry Adams. Dia bukan penuntut bidang ini tetapi kerap meyakini budaya Barat akan lestari sekiranya industri perbukuan diperlebarkan, ruang wacana dibuka, dan benih diskusi disuburkan.


Memang kita akan berbangga benar dan tersenyum mewah dengan peratusan celik huruf di Malaysia yang secara kasar sudah pun mencecah angka 93% pada akhir abad ke-21. Peratusan masyarakat ulat buku pula meningkat kepada 87%. Saya menaruh harapan, peratusan itu akan bertambah dari masa ke masa.


Walau bagaimanapun, kebanggaan itu kurang berasas untuk ditonjolkan setiap detik dan momen sehingga kelemahan-kelemahan 'terasing' dipandang enteng sahaja. Tak mengapalah buat acuh tak acuh saja, hujahnya mungkin berbunyi begitu. Tanya saya, berapa banyak pula daripada peratus itu membaca bahan-bahan ilmu dan 'helaian tamadun'? Jika ada, setakat manakah kelangsungan tabiat itu?


Persoalan tersebut mungkin klise atau bersifat 'tempurung'. Namun pada hemat saya, negara kian bermasalah dari sudut pemula. Ya, kita ketandusan pemula yang perkasa. Secara realistik, masalah ini pastinya membarah jika tidak ada swadaya atau sekurang-kurangnya diagnosis awal.


Luqman al-Hakim, contoh terbaik dalam pendidikan. Katanya penuh mutiara, kadangkala seperti buah ranum yang rasa manisnya lengkit di kerongkong. Pernah suatu hari, Luqman berkata kepada anak-anaknya:


“Wahai anakku sayang, kalau sewaktu kecil engkau rajin belajar dengan tekun menuntut ilmu sebanyak-banyaknya, maka apabila kamu dewasa kelak (hari tua) kamu akan memetik buahnya dan kamu akan menikmatinya.”


Akan anehlah jika hari ini, seorang remaja berusia hijau tiba-tiba bangkit membuat kenyataan, dia mahu ke Palestin untuk mempertahankan kedaulatan tamadun Islam. Atau mahu ke Turki, menghapuskan sekularisasi. Tentu tidak siuman! Tidak siuman kerana dia bertindak tanpa sebarang bekalan. Hanya memberi alasan mahu mencontohi Rafiq bin Hadiq, remaja 13 tahun yang penuh bersemangat untuk menyertai Perang Uhud, ghairah pula berangan-angan menjadi pemuda gua dalam Surah Al-Kahfi.


Mereka barangkali kurang jelas tentang ibrah atau pengajaran yang perlu disaring dari zaman silam. Betapa generasi lampau itu sebenarnya bermati-matian mengapungkan pelbagai disiplin ilmu terlebih dahulu sebelum berani untuk 'memilih' lantas 'memutuskan' sesuatu. Sejak dahulu hingga sekarang, pejam celik pejam celik, zamannya tetap zaman manusia jatuh bangkit dengan santapan ilmu yang dihadam secara penuh luar biasa. Berlumba-lumba kalah menang pun dengan ilmu. Dahulu, tanpa mencongak strategi yang waras, pasukan itu akan kalah dalam perang. Siapa kuat dialah jaguh.


Pemula kalimah Al-Quran adalah membaca. Saya ulang, membaca. Semua sudah tahu bahkan satu planet pun tahu. Ya, membaca. Semua sudah tahu, saya yakin sungguh.



Saya terimbau kisah sewaktu kecil, semasa usia masih setampuk pinang, saya sentiasa tergiur dengan kisah pelbagai ragam. Terlalu khusyuk menekuni keanehan cerita rakyat dari negara-negara berbeza. Akrab dengan kisah binatang, kaget dengan kisah cinta putera puteri dongeng Barat. Buku-buku kenangan itu kekal ada, elok tersimpan di kutubkhanah mini saya.


Kadangkala saya terperasan miracle dalam setiap patah buku yang dibaca. Masakan tidak! Seorang anak kecil yang 'mogok' tidak mahu tidur, terus nyenyak bermimpi – hanya dengan sebuah buku! Boleh pula rasa marah, empati, sedih, kecewa berbancuh sama sebagai multiemosi.


Tatkala usia kian meningkat, mungkin kita berjinak pula dengan akhbar kemudian majalah, seterusnya buku serius. Lihat! Inilah peringkat-peringkat yang perlu diberi perhatian. Pembacaan akhbar misalnya dapat dilihat begini – peringkat pertama, kecenderungan jelas ke arah berita hiburan dan sukan. Gemar mengumpat tentang selebriti itu selebriti ini, siapa lebih kacak siapa lebih segak. Dan selepas itu, perlahan-lahan 'bermuhasabah' kepada isu dunia yang rencam; juga menukar tabiat lama yang lapuk dengan membaca lidah pengarang.


Jadi 'anak tangga usia' ini sangat signifikan untuk dibahaskan secara santun.


“Saya sudah membaca.” Sudah jenuh pernyataan ini. Para pelajar khususnya, yang masih terkurung dengan otak yang 'diprogramkan sistem dan dasar'. Membaca buku teks dan rujukan pelajaran itu sahaja sudah amat dibanggakan. Heboh satu dunia. Saya fikir, pemikiran terkurung seumpama ini semakin menjadi-jadi jika tidak ada kesungguhan menerangkan konsep kecemerlangan hakiki dalam membina tamadun unggul.


Elok benar jika isu ini kita perpanjangkan dalam sembang yang mendatang kerana hal ini lebih kepada faktor sikap. Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri! Saya menggemari tajuk dan intipati buku nukilan Pendeta Za'ba ini. Sikap dan perangai yang tidak berubah, sebab itulah statistik pembacaan masih statik, pegun tidak berubah-ubah.


Saya kategorikan bahan asas yang dibaca golongan negara ini:


1. Akhbar (ilmu apa jika akhbar dibeli tujuannya hanya untuk menatap gosip, melihat ruangan kartun, atau lebih parah menilik sports toto!)


2. Majalah (ilmu apa jika isu artis tampar-menampar dan bergocoh, selebriti berkahwin selepas itu bercerai -berai sahaja menjadi topik hangat?)


3. Buku (ilmu apa jika membaca buku ilmiah satu perenggan, terus lempar ke dinding?)


4. Blog (ilmu apa jika selepas meneliti entri, berani carut-marut dan maki-hamun di ruang komentar tetapi pengecut mendedahkan identiti)


Bahan dan senario yang saya catatkan ini, hanya sebilangan ragam. Banyak lagi yang dapat dirakam, sebagai contoh semasa duduk santai sambil melihat pelbagai fiil teman-teman saya yang membaca dua tiga buah novel picisan sehari dengan ayat penuh perasaan. Mungkin terakam apabila melihat remaja-remaja yang membaca khusyuk kitab agama tetapi perangai di stesen bas macam kambing semput. Tidak senonoh pula di hadapan pak cik dan mak cik yang berusia.


Iklim pembacaan yang tidak betul inilah yang saya kesalkan, saya tanam, dan semai dalam benak agar boleh dibaiki segera. Secepat mungin. Paling utama, kesedaran tentang membaca sebagai pelaburan hingga ke akhir hayat manusia perlu diwarnai dengan corak yang menarik.


Sekarang masa bertindak, masa bergegas untuk melakukan. Sesekali mungkin boleh kita termenung, dengan menungan muhasabah, tetapi kemudian mesti bangkit semula! Musuh luar sudah menyusup perlahan-lahan. Saya tidak dapat menjamin industri perbukuan negara sedekad lagi sifar bahasa rancu atau bebas pluralisme. Masa tidak dapat berbuat apa-apa melainkan kita pantas mewujudkan generasi pemula ini.


Masih keliru dengan pemula? Pemula dalam konteks alam ilmu dan perbukuan secara mudahnya dapat kita maksudkan sebagai kelompok yang mula yakin dengan potensi diri sendiri, tahu kekuatan dan bakat yang dianugerahkan, membaca bahan yang merangsang rohaniah, berkumpul di atas satu saf ummah seterusnya mengaplikasikannya dalam pembinaan masyarakat madani. Yakinilah, Barat akan tertewas dengan cara ini.


Tentu menarik jika kita bina satu kumpulan pemikir muda dari zon usia masing-masing (katakan zon 80 itu bermula daripada individu yang lahir bermula tahun 1980-1989) – menetapkan sejumlah buku yang patut dibaca, kemudian membincangkannya, berbahas jika perlu, dan membina satu bank idea. Bank idea yang akan dipenuhi dengan gagasan-gagasan yang sebelumnya disifatkan underground dan terpinggir. Zon-zon tersebut kemudiannya digabungkan untuk melahirkan sinergi yang bermakna. Seperti sebuah bank, bila-bila masa sahaja 'khazanah' yang ada di dalamnya dapat dikeluarkan pada saat-saat genting dan memerlukan. Atau banyak lagi aktiviti positif yang mampu dijadikan sebagai asas. Alangkah bagusnya jika bayangan dan cetusan ini benar-benar wujud di negara kita.


Bagi saya, landasan utamanya tetap starting point dan tidak lupa turning point juga!





Anologinya mudah. SATU BULATAN. Anda bergerak sahaja pada mana-mana titik bahagian bulatan itu. Di manakah anda akan berakhir? Lambat bangat, anda akan berakhir di titik asal sewaktu mula bergerak tadi, bukan? Berakhir dengan tujuan yang telah mula-mula dan awal-awal lagi kita tetapkan. Maka, itulah nikmat, keistimewaan, dan maslahat yang dicicip terus-terusan. Seperti kata saya awal tadi, proses ini semacam bulatan yang bergerak berulang-ulang kali. Ingat ya, bulatan.


Apa lagi? Ayuh bergerak terus Ahad istimewa ini pada titik pertama bulatan.


Bersedia. Bergerak.
Dan bacalah!




NOTA: Tiga tahun lalu, saya pernah mengisi pojok Sembang Ahad di portal bukuonline.org kelolaan Abang Khairusy Syakirin Has-Yun dan teman bukuwan lain. Setiap Ahad, tulisan saya mengenai buku dan remaja akan dimuatnaikkan. Untuk siaran blog ini, saya memilih untuk lebih menokok dan menyunting perenggan-perenggan penting supaya pemikiran yang saya bentangkan kian terang & jelas.

0 Komentar:

Catat Ulasan

TS mengalu-alukan hujahan/ ulasan yang deskriptif dan mematuhi susila.