TUAH SUJANA

menjadi pemula bulatan

Hegemoni, Homofili & Kuini

Rasa tertekan hari ini? Atau keletihan kerana otak tertumpu kepada bacaan yang terlalu serius?


Elok kita berehat dengan bicara-bicara santai. Santai kata saya kerana sambil membaca tulisan ini, sambil mencicipi teh camomile atau sesekali beralih angin dengan kopi somali. Kita berbincang secara dua hala supaya lebih mesra dan idea pokok dapat dibentuk dengan lebih mudah.


Pertama-tama semoga pembacaan yang cuba kita langsaikan selama ini menyegarkan diri sendiri, kemudian beralih kepada kelompok masyarakat untuk kita terjemahkan. Seperti kata Saidina Ali karramallahu wajhah:

Barang siapa yang ingin menjadikan dirinya pemimpin, ia hendaklah memimpin dirinya sendiri sebelum memimpin orang lain.

Pembaca yang ghairah untuk menjadikan dirinya berilmu seterusnya beramal dengan ilmunya itu ialah pemimpin. Pemimpin dalam konteks yang sangat luas.

Kita ambil satu contoh mudah. Semasa kecil, mungkin datuk nenek pernah memperkenalkan kita dengan ikan sebelah – kononnya ikan ini pernah dimakan oleh nabi; kerana itu ikan itu pesek. Jadi adakah kita mahu mengambilnya begitu sahaja? Atau memegang terus kata-kata itu untuk disebarkan untuk piut kita pula kelak?

Dengan pembacaan yang bertubi, kita diajar menganalisis dengan waras. Ini hakikat yang tak boleh dibuat-buat. Dunia pembacaan tidak tertumpu kepada soal serius sahaja. Cuma harus dimulakan! Apabila bermula kata saya, lambat bangat kejayaan akan dicapai.

Seorang anak membaca wajah ibunya saat keluar dari rahim, memesrai, dan belajar menangis apabila ibu tidak berada di sisi. Itu juga membaca sebetulnya cuma bezanya itu gaya bacaan seorang bayi. Meningkat sedikit kita belajar membaca watak dan personaliti. Mungkin kita akan samakan ayah dengan Perdana Menteri walaupun dia hanya seorang petani. Dan asas ini sentiasa meningkat dari masa ke masa dengan cara merangsangkannya. Banyak cara membuat kita teruja atau terangsang.

Tiga adunan yang kerap saya fikir-fikirkan sebelum ini saya perturunkan sepenuhnya. Hegemoni, homofili, dan kuini. Semua itu saya cantumkan biarpun letak duduknya sangat terasing.

Para remaja mungkin agak terkejut mendengar tiga perkataan ini. Itu rumusan saya sesudah saya ajukan perkataan-perkataan ini kepada beberapa orang kawan. Kesimpulannya, tidak tahu!

Saya tidak kecewa langsung. Perlukah kecewa sementara waktu yang masih ada ini? Masa masih ada dan kita boleh menelitinya, mengadun satu ramuan untuk menyegarkan anak bangsa.

Hegemoni. Di peringkat politik hegemoni banyak definisinya malah bercabang-cabang dengan pelbagai pendapat. Cumanya biarlah kita bertatih untuk mendalami hegemoni di peringkat awal.

Seperti bicara awal tadi, kita banyak diperkenalkan dengan cerita-cerita aneh oleh orang-orang tua. Kadang-kadang tentang petua atau adat, misalannya kalau tidur di atas sejadah alamatnya badan dijangkiti kurap. Atau kisah hantu raya, atau cerita pelesit. Semua ini tanya saya – adakah kita terus meletakkannya terus ke dalam benak tanpa menyaringnya sedikit pun? Habis saja anda menjawab soalan itu, maka itulah yang kita sebut hegemoni secara mudah!

Huraiannya hegemoni ialah satu anasir asing yang tak pernah kita ketahui lalu secara tiba-tiba mewabak dalam peringkat individu kemudian bercambah kepada masyarakat. Kalau bidang siasah, perkara anasir itu disebut sebagai pengaruh meluas ke atas satu-satu negara atau jajahan. Dalam konteks pembacaan, ini sangat penting kerana cengkaman hegemoni terlalu kuat sehingga pada satu tahap tidak boleh digugah langsung.

Saya berikan satu contoh hegemoni. Teori Darwinisme adalah yang terbaik. Inilah peringkat jajahan paling ketara dalam skop mentaliti masyarakat am. Bagaimana buku The Origin of Species lahir dan ketika itu teori bangang tentang antropologi meresap dengan cukup berkesan. Anda fikirkan, bagaimana hegemoni boleh hidup dalam sesuatu yang amat bodoh dan sesekali hegemoni boleh hidup pada ketika sesuatu itu amat cantik! Novel-novel picisan yang kita baca bermula dengan suatu yang indah dengan canda-canda syahdu, ayat-ayat bombastik, elusan ghairah, tapi tanpa kita sedari itulah dos hegemoni yang tersisip sungguh halus. 

Bertenang. Anda boleh menambah teh atau kopi dengan menuangnya dari teko jika cawan anda sudah kosong.

Kemudian fahamkan hegemoni sebagai dominasi asing yang mutlak terhadap apa sahaja seperti budaya, bacaan, serta negara. Namun sesuatu masalah pasti ada cara penyelesaiannya. Kalau orang sufi yang mengamalkan terapi, akan dicari mana puncanya sesuatu penyakit itu barulah terapi itu dijalankan. Tanpa punca perlu diakui, terlalu sukar untuk menyelesaikan apa jua masalah.

Hegemoni fikir saya boleh kita beresi dengan homofili. Bunyi serasi benar dengan kesamaan rima, tapi hakikatnya ini dua benda yang berbeza.

Homofili untuk penekun dunia komunikasi akan menganggapnya sebagai suatu yang wajib dipelajari. Banyak situasi memerlukan kaedah ini.

Andai kata hal ini kita ketahui dan kita menceduk jernihnya, membuang keruhnya, saya optimis masyarakat akan mula sedar – insaf – bangkit.

Asas paling cocok dalam dunia komunikasi ialah penyampaian info serta maklumat dengan kesamaan. Kesamaan inilah takrif ringkas bagi homofili. Lawannya heterofili iaitu ketidaksamaan. Kesamaan bagaimana? Boleh sahaja sama dari segi hobi, kepercayaan (misalnya animisme seperti zaman purba), pendidikan, pangkat, sosial, atau apa-apa yang berkaitan rasa nurani.

Hujah saya tentang homofili, pastinya akan memetik kata seorang tokoh Perancis iaitu Gabriel Tarde. Katanya, “Hubungan lebih mudah terbina antara individu-individu yang memiliki kesamaan dalam kedudukan dan pendidikan”. Begitulah sedikit banyak petikan kata daripada pakar sosiologi ini. Juga dikatakan seseorang itu akan cenderung untuk gagal sekiranya berhubung secara ketidaksamaan.

Sebagai contoh, pak imam tak akan berkahwin dengan penyanyi fantasi-fantasi, atau aktivis bahasa Melayu tak akan menyokong mulut-mulut celopar yang memusnahkan bahasa itu. Lazimnya begitulah.

Justeru apa kaitannya homofili ini dalam dunia buku? Dengarnya macam tidak munasabah bukan? Tetapi saya memandang idea ini dari sudut yang sedikit berlainan. Saya suka menamsil dengan satu bulatan kerana bentuk ini terlalu menyuguh minda supaya berfikir. Dua manusia – bergerak dalam bulatan apa hasilnya? Jawapannya tentulah mereka akan bertembung. Asasnya pusat bulatan, jejari atau lengkok itu ialah cabangnya.

Maka tembungan itu ada kelebihan pada kita. Manusia yang sama minatnya bergerak dalam satu tapak akan menjadi kuat tidak kira dalam segi apa pun. Ideanya lebih mudah diterjemah. Manusia ulat buku bertemu ulat buku sungguh hebat! Banyak perkara yang boleh terlaksana. Maka gabungan manusia-manusia itu hasilnya ialah kelahiran komuniti yang bermula daripada situasi homofili. Hal ini berakhir dengan suatu kekuatan tentunya.

Dan komuniti memerlukan individu yang cergas dan cerdas memberikan sepenuh komitmen dalam apa-apa pun aktiviti yang dilaksanakan.

Paling akhir, kuini. Agak lucu barangkali bunyinya. Saya sengaja meletak kuini. Mungkin ada yang menyangka itu ialah teori atau mungkin ada yang menyangka itu ialah nama model yang dipatenkan, atau lebih terjejak ada yang menganggapnya sebagai Kuini Laliha iaitu tokoh besar dari Hawaii.

Semua itu boleh jadi kerana ada relevennya. Tetapi yang sebetulnya saya hanya mahu membicarakan sejenis buah. Buah kuini. Tujuannya untuk menjadi pelengkap istilah-istilah sukar di atas. Tamsilnya, kuini ini ialah sejenis buah yang berbau. Kalau di daerah saya, buah ini dijadi ulam semasa makan. Baunya tidaklah seperti durian tetapi tetap ada hebatnya. Kuini juga disebut bacang di sesetengah tempat. Dan anda ketahui pepatah Melayu tentunya; bau-bau bacang.


Baunya itu menunjukkan kelangsungan dalam sesuatu perkara. Itulah falsafah yang mahu ditonjolkan oleh pepatah Melayu tersebut. Maksudnya, meskipun jauh secara relatifnya namun hubungan tetap berlangsung seakrabnya. Dan dunia perbukuan memerlukan sesuatu yang segar ‘bau’-nya. Bukan hari ini bersemangat besok tidak. Hari ini berminat dalam soal serius lusa mula menyampah dengannya. Itulah pentingnya kita mengetahui hegemoni untuk membendungnya dengan kaedah homofili. Analoginya buah kuini yang berbau itu. Mudah bukan?

Buku ialah pelaburan – hanya dapat dihayati dengan cara yang berterusan. Mulalah dari peringkat asas, yang penting bukan hangat-hangat tahi ayam.

Oh ya, sebelum terlupa mari habiskan teh atau kopi yang sedang kita minum serta kemanisannya di halkum itu bersekali dengan kemanisan dunia buku dan kondisi ilmiah.

0 Komentar:

Catat Ulasan

TS mengalu-alukan hujahan/ ulasan yang deskriptif dan mematuhi susila.